
PARA pelajar DKPM UiTM Lendu cawangan Melaka mendengar taklimat disampaikan oleh Amran Mulup pada Seminar Pemantapan bidang Kewartawanan di UiTM Lendu, Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.
ALOR GAJAH 16 Ogos - Kira-kira 60 pelajar semester tiga Diploma Komunikasi dan Pengajian Media (DKPM) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu cawangan Melaka di sini mendapat pendedahan mengenai dunia kewartawanan baru-baru ini.
Taklimat hampir dua jam yang disampaikan oleh Ketua Biro Utusan Malaysia, Amran Mulup berkaitan bidang tugas sebagai wartawan, banyak memberi manfaat kepada pelajar dalam aspek penulisan berita dan cabaran sebagai wartawan.
Pensyarah COM201, Shafezah Abdul Wahab yang menganjurkan program tersebut berkata, taklimat tersebut berjaya memberi pendedahan berguna kepada pelajar yang berminat ingin menceburi bidang kewartawanan selepas tamat pengajian atau bagi mereka yang ingin melanjutkan ke peringkat ijazah.
Menurutnya, pelajar didedahkan kepada etika kewartawanan dan juga kerjaya sebagai wartawan berdasarkan pengalaman Amran yang memulakan kerjaya sebagai wartawan hiburan di akhbar Harian Kota pada 1987, Kumpulan Karangkraf, akhbar harian Watan danUtusan Malaysia.
''Program ini merupakan satu input terbaik dalam mendapatkan maklumat terkini mengenai kerjaya sebagai wartawan di samping pendedahan mengenai proses berita dihasilkan," katanya selepas program itu diadakan di Dewan Kuliah 1 baru-baru ini.
Menerusi program tersebut, kata Shafezah, pelajar dapat menyelami secara langsung terhadap proses penyediaan, penulisan dan penerbitan berita di samping memahami prospek kerjaya kewartawanan secara lebih dekat.
Ujarnya, ramai pelajar yang mengambil DKPM kurang berminat untuk menjadikan wartawan sebagai kerjaya mereka selepas menamatkan pengajian di situ.
''Sekurang-kurangnya melalui program ini, pelajar dapat membuka mata dan melihat dari dekat prospek sebenar bidang kewartawanan," katanya.
Comments
Post a Comment